Wednesday, November 2, 2011

TERGAMAKAH kita MEMBALAS KASIH SAYANG ALLAH dengan KEMUNGKARAN?

Ana berbual dengan seorang sahabat tentang kasih sayang. Juga tentang bagaimana menghargai kasih sayang yang dikurniakan. Sebelum ana huraikan hasil perbualan kami, ana ingin menyoal sohabat dengan pertanyaan ana ini.

Kamu fikir, siapakah sebenarnya yang paling sayang kepada kamu?
Mungkin ada yang menjawab ibu, pasangan hidup, sahabat karib, dan lain-lain. Mungkin. Tetapi, jika ada yang memberikan jawapannya adalah ALLAH, ketahuilah bahawa jawapan kamu itu bersamaan dengan jawapan saya.
Ya, yang paling sayang kepada kita ialah Dia. Pencipta kita. Pembuat kita. ALLAH.
Bayangkan, kita sebagai manusia yang lemah ini pun akan sayang kepada sesuatu yag dihasilkan dengan titik peluh kita sendiri, bagaimana pula dengan Dia yang mengakui secara jelas bahawa Dialah Yang Maha Penyayang.
Segala puji tertentu bagi ALLAH, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Perasaan Sayang Yang Makhluk Miliki Adalah Kurniaan ALLAH
Kita biasa melihat betapa sayangnya seorang ibu atau bapa kepada anaknya. Juga perasaan sayang seorang iteri kepada suaminya. Namun, biasakah kita melihat bahawa perasaan sayang mereka ini, ALLAH lah yang mengurniakannya kepada mereka.
Berkenaan perkara ini, sahabat nabi, Abu Hurairah R.A. ada meriwayatkan sebuah hadis dengan katanya,
"Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda: ALLAH telah menjadikan kasih sayangNya terbagi dalam seratus bahagian. Dia menahan sembilan puluh sembilan bahagian di sisi-Nya dan menurunkan satu bahagian ke bumi. Dari satu bahagian itulah para makhluk saling kasih-mengasihi sehingga seekor ibu binatang mengangkat cakarnya dari anaknya kerana takut melukainya." [riwayat Imam Muslim]

Bayangkan, betapa banyaknya kasih dan sayang yang ALLAH miliki. Maka betapa besarnya pula kasih sayang ALLAH kepada manusia kerana manusialah makhluk yag paling dikasihiNya.
Pernah suatu hari Sayyidina Umar datang menghadap Rasulullah s.a.w. dengan membawa beberapa orang tawanan. Di antara para tawanan itu terlihat seorang wanita sedang mencari-cari, lalu jika ia mendapatkan seorang bayi di antara tawanan dia terus mengambil bayi itu lalu mendakapkannya ke perut untuk disusui.
Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: "Bagaimana pendapat kamu sekalian, apakah wanita ini akan melemparkan anaknya ke dalam api?" Para sahabat menjawab: "Tidak, demi ALLAH, sedangkan dia mampu untuk tidak melemparnya." Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sungguh ALLAH lebih mengasihi hamba-Nya daripada wanita ini terhadap anaknya."
Begitu sekali kasihnya ALLAH kepada hambaNya. Tidakkah kita patut berfikir untuk menghargainya?

Menghargai Kasih Sayang ALLAH

Kita ini, bila kita tahu ibu bapa sayang kepada kita, kita jadi tak tergamak untuk lukakan hati mereka. Tak sampai hati hendak buat perkara yang mereka tak suka kita buat. Tetapi, kita buat juga secara sembunyi.
Namun, ALLAH lain. Dia tak sama dengan orang yang kita sayang.ALLAH, bila Dia menyuruh kita berbuat sesuatu, atau melarang kita dari melakukan sesuatu yang lain, Dia sentiasa Melihat kita. Maka, di sinilah nilaian kepada sejauh mana kita menghargai kasih dan sayang yang ALLAH berikan.
Adakah kita tetap buat yang ALLAH larang?
Atau masih tak laksanakan perkara yang Dia suruh?
Sedangkan Dia tetap melihat apapun yang kita lakukan.

Tinggalkan Dosa Kerana Hutang Kasih

Kita selalu dengar ustaz-ustaz kita pesan supaya tinggalkan maksiat kerana setiap maksiat kita itu balasannya adalah neraka ALLAH. Neraka pula azabnya tidak terfikir oleh otak, tidak terucap pula oleh lidah. Betapa dahsyat.
Tapi masih ramai yang tidak tinggalkan maksiat.
Jadi, selain dari ancaman azab-azab yang sangat mengerikan itu, saya ingin mengajak kita kepada menghindar maksiat dengan menginsafi bahawa kita sudah terlalu banyak berhutang kasih kepada ALLAH. Sangat banyak. Kasih ALLAH kepada kita bukan sekadar semasa kita hidup, bahkan sebelum kita hidup dan selepasnya.
Diriwayatkan oleh Saiyidina Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. bersabda,"Tatkala ALLAH menciptakan makhluk, ALLAH telah menuliskan dalam kitab catatan-Nya yang berada di sisi-Nya di atas arsy bahawa sesungguhnya kasih sayang-Ku mengalahkan murka-Ku" [Riwayat Imam Muslim].

No comments:

Post a Comment